GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 494 kes HIV dilaporkan sehingga minggu epid 49/2022 di seluruh negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, namun hanya 203 kes diklasifikasikan sebagai HIV baru dengan kadar 5.0 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Katanya daerah yang melaporkan kes HIV baru tertinggi adalah Johor Bahru iaitu 122 kes (60 peratus), Batu Pahat 21 kes (10 peratus), Kluang dan Kulai masing-masing 14 kes (6 peratus) dan lain-lain sebanyak 32 kes (15 peratus).

"Kes HIV baru yang dilaporkan adalah di kalangan lelaki sebanyak 180 kes, manakala perempuan sebanyak 23 kes.

"Majoriti kes HIV tersebut berumur antara 20 hingga 39 tahun iaitu 160 kes diikuti 50 tahun ke atas (20 kes), 40 hingga 49 tahun (19 kes) dan 13 hingga 19 tahun (4 kes).

"Faktor risiko utama penyumbang bagi kes HIV baru sehingga minggu epid ini adalah melalui hubungan homeksual atau biseksual yang membabitkan 116 kes, diikuti hubungan heteroseksual (78 kes) dan perkongsian jarum suntikan (1 kes)," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Tian Soon, bagi kes AIDS sehingga minggu epid sama, sebanyak 244 kes dilaporkan berbanding 183 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya peningkatan kes AIDS ini adalah disebabkan fasiliti kesihatan sedang mengenalpasti dan melaporkan kes mengikut klasifikasi yang ditetapkan.

"Kematian HIV dan AIDS masing-masing adalah sebanyak 19 kes dan 62 kes berbanding 11 kes dan 43 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

"Kerajaan negeri akan terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen penuh dalam agenda negara menangani HIV/AIDS dan merealisasikan kesaksamaan ke arah matlamat kita mengakhiri AIDS menjelang 2030.

"Aktiviti kesedaran, saringan dan rawatan sedang giat dipertingkatkan di seluruh negeri ini. Orang yang dijangkiti HIV/AIDS dan populasi kunci digalakkan menjalani ujian dan mendapatkan rawatan serta mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam melindungi diri dan pasangan dari jangkitan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 8:38 PM