TIGA warga Indonesia dan dua pegawai Imigresen ditahan terbabit sindiket migran. Foto Ihsan JIM.
TIGA warga Indonesia dan dua pegawai Imigresen ditahan terbabit sindiket migran. Foto Ihsan JIM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Menerima upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) masuk ke dalam negara ini.

Itu modus operasi ejen sindiket yang bersubahat dengan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membawa masuk semula PATI yang sudah disenarai hitam atas kesalahan lampau.

Ejen akan mengatur kemasukan PATI dengan bersubahat dengan pegawai JIM di kaunter ketibaan untuk menurunkan cap masuk.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan sindiket itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan.

Menurutnya, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya melakukan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Jumaat lalu.

"Menerusi operasi jam 7.05 petang itu, JIM berjaya menahan lima individu berusia antara 31 hingga 49 tahun terdiri daripada dua wanita warga Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai ejen.

"Turut ditahan adalah dua pegawai Imigresen yang bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan PATI tersebut," katanya melalui kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, PATI yang baharu tiba itu akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang ditetapkan untuk bekerja secara tidak sah.

Menurutnya, kemasukan PATI inijuga tidak direkodkan didalam sistem Imigresen oleh pegawai tersebut.

"PATI yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat dibawah akta yang sama.

"Manakala seorang ejen dan dua pegawai yang terbabit pula ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"Warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut manakala dua pegawai Imigresen yang terlibat ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan."

"JIM komited dalam membanteras sindiket penyeludupan migran dan tidak sama sekali berkrompomi terutama membabitkan kakitangan dan individu yang didapati melanggar kesalahan akan diambil tindakan tegas,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 8:05 PM