Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Terima ijazah bersama-sama dalam bidang masing-masing menjadi detik manis kepada tiga pasangan kembar pada Upacara Konvokesyen Ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Pasangan kembar berkenaan ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan iaitu Nuranis Qhaleeda Ahmad Pesal, 23, dan Nuranis Qhaleezah ; graduan Sarjana Muda Sains Bangunan, Perumahan dan Perancangan Dhika Marzuki, 24 dan Dhifa, serta graduan Sarjana Muda Perakaunan J Kalaaiveyhny, 23 dan Kalaaivahnny.

Berkongsi kisah, Nuranis Qhaleeda dari Air Itam di sini, berkata, walaupun kembar sering dikatakan sama dalam semua hal, namun sebaliknya bagi mereka ketika dalam pengajian.

Nuranis Qhaleeda berkata, lebih gemar mengulangkaji pelajaran di asrama berikutan suasananya yang lebih tenang dan selesa.

Manakala adiknya, Nuranis Qhaleezah pula gemar mengulangkaji pelajaran bersama rakan kumpulan di perpustakaan kerana mudah bertukar pendapat dan pengetahuan.

"Memang wajah hampir sama namun sikap berbeza, saya seorang yang pendiam berbanding Nuranis Qhaleezah yang mudah mesra dan ketawa.

"Peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang pengajian ialah apabila kami berdua disahkan positif Covid-19 pada Jun lalu iaitu seminggu sebelum peperiksaan akhir.

"Terkilan kerana tidak dapat lakukan persiapan terbaik menjelang peperiksaan berikutan keadaan kami berdua yang sangat lemah dan mengalami batuk teruk, namun bersyukur kerana berjaya menggenggam ijazah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Dhika pula berkata, perasaan puas dan gembira apabila namanya dipanggil selepas kakaknya Dhifa naik ke pentas bagi menerima ijazah.

Katanya, sejak kecil mereka tidak pernah berenggang dan sering melakukan apa jua aktiviti bersama-sama.

"Pada masa ini kami merancang mahu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi," katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Kalaaiveyhny pula turut berkongsi kisah lucu mengenai nama pasangan kembar berkenaan sepanjang pengajian.

"Kerap kali juga nama kami dipadam dan dibetulkan semula kerana mereka sangka salah ejaan serta tidak tahu bahawa kami adalah pasangan kembar yang mempunyai nama hampir sama," kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Pada sidang ke-10 yang dipengerusikan Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan itu, seramai 738 graduan menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 4:28 PM
DHIFA dan Dhika. MIKAIL ONG
DHIFA dan Dhika. MIKAIL ONG
 J Kalaaiveyhny dan J Kalaaivahnny. FOTO MIKAIL ONG
J Kalaaiveyhny dan J Kalaaivahnny. FOTO MIKAIL ONG
NURANIS Qhaleezah dan Nuranis Qhaleeda. FOTO  MIKAIL ONG
NURANIS Qhaleezah dan Nuranis Qhaleeda. FOTO MIKAIL ONG
TIGA pasangan kembar bersama ijazah masing-masing di Bilik Kenamaan Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini. FOTO MIKAIL ONG
TIGA pasangan kembar bersama ijazah masing-masing di Bilik Kenamaan Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini. FOTO MIKAIL ONG