DR Zaliha (kanan) diberi penerangan pelan Projek Bangunan Tambahan Hospital Segamat. FOTO Ahmad Ismail
DR Zaliha (kanan) diberi penerangan pelan Projek Bangunan Tambahan Hospital Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti semula semua 'projek sakit' di bawah kementerian itu membabitkan pelbagai projek kemudahan awam dan kemudahan kesihatan, termasuk pembinaan hospital.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, penelitian secara pragmatik perlu dilakukan secara terperinci terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang bentuk tindakan.

"Saya telah diberi penerangan berkaitan hal berkenaan, cuma belum diperincikan lagi dan saya perlu lihat 'sakit' itu dalam (bentuk) bagaimana.

"Kita perlu lihat satu persatu permasalahan termasuk aduan yang diketengahkan, barulah perkara itu dapat diatasi (kerana) langkah berkenaan tidak mudah.

"Ia seolah merawat pesakit, harus ada penelitian sebelum rawatan terbaik diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja pertama sejurus dilantik menyertai barisan kabinet di Hospital Segamat hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KKM Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor Datuk Dr Aman Rabu.

Sebelum ini, KKM mengenal pasti 13 projek sakit di bawah kementerian itu di seluruh negara kerana siap lewat dan tidak mengikut jadual ditetapkan.

Bekas menterinya, Khairy Jamaluddin pada September lalu dilaporkan berkata, usaha oleh KKM sedang dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya bagi mencari jalan sama ada untuk mempercepatkan projek terbabit atau menerusi proses pelantikan kontraktor penyelamat.

Sementara itu, Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang dalam lawatan sulungnya meninjau tapak projek bangunan tambahan Hospital Segamat yang bernilai RM90.5 juta.

Katanya, bangunan yang dilengkapi empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta satu Unit Hidrodinamik dan Respiratori (RHU) berkenaan dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada awal 2023.

"Dengan kemudahan yang disediakan di blok tambahan ini, Hospital Segamat akan dapat memperluaskan lagi perkhidmatannya sekali gus menampung keperluan 223,000 penduduk di daerah ini," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 12:23 PM