GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Seremban: Seramai 25 penduduk membabitkan lima keluarga Kampung Orang Asli Sungai Raya di sini, terputus hubungan apabila laluan utama ditimbus tanah runtuh dan pokok tumbang awal pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata, kejadian itu berpunca hujan lebat yang turut mengakibatkan bekalan elektrik di kampung terbabit terputus.

"Ketika ini belum ada sambungan elektrik. Kerja mengalihkan tanah dan pokok tumbang masih dilakukan. Tiada mangsa dilaporkan cedera dan anggota APM masih melakukan pemantauan di sekitar kampung berkenaan," katanya tadi.

Dalam kejadian berasingan, beliau berkata APM turut memindahkan 60 pelajar dan guru di beberapa sekolah di Port Dickson ke Pekan Linggi dan Masjid Permatang Pasir pada kira-kira jam 11 pagi semalam, selepas jalan raya di kawasan itu dinaiki air akibat banjir kilat.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ibu bapa tidak dapat menjemput anak mereka di sekolah yang ditutup awal bagi persediaan banjir sekiranya keadaan cuaca semakin teruk.

"Ketika ini hujan telah reda dan cuaca semakin cerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 5:45 PM