TAUFAN Noru. FOTO AFP
TAUFAN Noru. FOTO AFP
AFP

Hanoi: Taufan Noru yang mendarat di wilayah tengah Vietnam, Danang, awal pagi ini, menumbangkan banyak pokok, menerbangkan bumbung rumah serta bekalan elektrik berskala besar terputus.

Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan berkata, kedudukan pusat taufan antara Danang dan Quang Nam, pada 4 pagi 28 September.

"Kelajuan angin antara 103 hingga 117 kilometer sejam," katanya.

Pusat Ramalan Hidrometeorologi Kebangsaan berkata, hujan lebat akan berterusan selama seharian dan memberi amaran mengenai tanah runtuh dan banjir serius.

Media kerajaan melaporkan, Kementerian Pertahanan menggerakkan kira-kira 40,000 tentera, dan 200,000 anggota militan dilengkapi dengan kenderaan berperisai dan bot sebagai persediaan untuk operasi menyelamat dan memberikan bantuan.

Hampir separuh daripada lapangan terbang Vietnam, sekolah dan pejabat di beberapa wilayah tengah ditutup.

Bahagian tengah lebuh raya yang menghubungkan Hanoi di utara dengan hab komersial Ho Chi Minh City di selatan negara itu, juga ditutup.

Penutupan itu selepas Taufan Noru melanda Filipina awal minggu ini yang mengorbankan enam orang.

Pihak berkuasa di Vietnam berkata, pihaknya memindahkan hampir 260,000 orang dari rumah mereka termasuk di bandar pelancongan popular Hoi An.

Katanya, penduduk dibawa berlindung ke sebuah sekolah rendah.

Sementara itu, kira-kira 300 atap rumah terbang di wilayah pesisir pantai Quang Tri, lewat petang semalam.

Di kawasan berdekatan, Hue, banyak pokok tumbang, manakala semua kedai dan hotel di Danang ditutup dengan penduduk dilarang keluar di jalanan.

Taufan Noru melanda Pulau Luzon, Filipina, sejak Ahad lalu, menumbangkan pokok, memutuskan bekalan elektrik dan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Seramai lima anggota penyelamat terbunuh selepas dihantar membantu penduduk banjir, manakala seorang lagi maut selepas ditimpa tanah runtuh.

Pegawai menganggarkan kira-kira AS$2.4 juta (RM11.08 juta) nilai tanaman musnah dalam bencana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 10:33 AM