GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menangguhkan semua proses rundingan bersama kontraktor atau perunding berkaitan projek naik taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Kementerian itu memaklumkan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan sementara atau 'caretaker', pihaknya turut menangguhkan pengeluaran Surat Niat, Surat Pelawaan dan Surat Setuju Terima.

"KASA sangat berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh kerajaan sementara ini. Justeru, kenyataan yang tular ini adalah tidak berbangkit sama sekali kerana tiada sebarang ikatan kontrak telah dijalin antara kerajaan dengan syarikat dalam tempoh ini," menurut KASA dalam satu kenyataan, hari ini.

Kementerian itu mengulas dakwaan pihak tertentu mengenai pemberian kontrak bernilai RM285 juta kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd selepas 17 hari Parlimen dibubarkan.

Menurut KASA, projek naik taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan diluluskan pada November 2021 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) 2021 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Proses perolehan projek ini bermula sejak 6 Oktober 2021 sedangkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022," menurut kenyataan itu.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tohmahan tidak berasas, KASA menegaskan perkara itu perlu dibuktikan kebenaran melalui siasatan pihak berkuasa.

Menurut KASA, Surat Pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 18 Oktober, berkaitan pelaksanaan perolehan kerajaan selaras peranan dan fungsi kerajaan sementara serta garis panduan peranan dan fungsi kerajaan sementara antara lain menetapkan apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji hendaklah dielakkan.

Ia turut menetapkan apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu hendaklah dielakkan.

Mengenai dakwaan kononnya terdapat surat kelulusan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, KASA menegaskan perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa dari segi ketepatan fakta, bukannya dengan cara mendedahkan kepada rakyat secara umum dengan niat mewujudkan persepsi tidak baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 5:04 PM