Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Sungai Seluang yang ditutup semalam, dibuka semula hari ini untuk menempatkan mangsa banjir dari tiga kampung.

Kampung yang terjejas adalah Kampung Sungai Seluang, Kampung Bukit Sarang Ayam dan Kampung Balik Bukit.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, pembukaan semula PPS itu pada 8.10 malam selepas banjir melanda kawasan rendah akibat hujan lebat lebih dua jam.

"Proses pemindahan masih berlangsung dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim turut melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air.

"Jumlah mangsa sedang diperincikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelbagai agensi turut membantu mangsa banjir termasuk polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan penghulu.

Beliau menasihati penduduk di kawasan berisiko supaya berwaspada dan menghubungi pasukan keselamatan untuk bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 11:48 PM