Raja Noraina Raja Rahim dan Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak keselamatan negara sudah bersiap siaga menghadapi banjir kilat di Lembah Klang termasuk Kuala Selangor, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, pemantauan di lokasi dilakukan sepanjang masa meskipun keadaan banjir kilat sudah pulih.

"Semalam ketika dalam perjalanan ke program bersama jentera, saya sempat singgah ke lokasi banjir kilat di kawasan Kuala Selangor untuk melihat sendiri situasi di sana.

"Kita turut menghubungi bomba serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memaklumkan keadaan semasa termasuk longkang tersumbat yang menyebabkan berlaku limpahan air dan banjir kilat.

"Seperti kita ketahui, hari ini banjir sudah reda tetapi kita meneruskan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit," katanya dalam sidang media di Kampung Ijok di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, beliau akan berusaha untuk memanjangkan masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan Kuala Selangor kepada agensi berkaitan dan mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh banjir yang berlaku semalam tidak seteruk yang berlaku pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, langkah menangani masalah itu akan dilaksanakan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 211 mangsa banjir daripada 49 keluarga ditempatkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman, malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, SK Kampung Johan Setia merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 147 mangsa dari 32 keluarga, manakala PPS SK Sungai Binjai, Meru pula merekodkan 32 mangsa dari tujuh keluarga dan PPS di Masjid Al Falah, Kampung Budiman menempatkan 32 mangsa dari 10 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 4:42 PM
Calon Barisan Nasional P.096 Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap kepada wartawan di Kampung Ijok. FOTO ASYRAF HAMZAH
Calon Barisan Nasional P.096 Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap kepada wartawan di Kampung Ijok. FOTO ASYRAF HAMZAH