Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: "Saya sudah menggerakkan jentera 100 peratus dengan menggunakan gear lima untuk berkempen," kata calon Pas Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Penyandang Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia kerana Parlimen berkenaan menyaksikan persaingan paling ramai membabitkan enam penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

"Gerak kerja dilakukan merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Tanjong Mas, Kota Lama dan Bunut Payong. Malah, Parlimen Kota Bharu mempunyai 33 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Untuk keseluruhan, Kota Bharu, saya sudah meninjau dan Alhamdulillah kempen setakat ini berjalan lancar.

"Kita tidak boleh membuang masa sebaliknya setiap minit dimanfaatkan sebaik mungkin kerana tempoh berkempen sudah tidak panjang," katanya ketika ditemui semalam.

TAKIYUDDIN pada sidang media di Pejabat Parlimen Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN pada sidang media di Pejabat Parlimen Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli optimis mampu mengekalkan kemenangan di Parlimen berkenaan.

"Saya sudah menjadi Parlimen Kota Bharu selama dua penggal selain pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan berharap pengundi terus memberi kepercayaan kepada saya pada PRU-15.

"Parlimen Kota Bharu mempunyai 116,503 pengundi dengan 14 peratus pengundi masyarakat Cina, satu peratus adalah India dan selebihnya Melayu.

"Saya memohon kepada pengundi supaya terus memberi mandat kepada Pas dengan rekod baik kita yang ditunjukkan selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 8:21 AM