KHAIRIL Aslan (kiri) dan Amierul menamatkan pendakian. FOTO ihsan Khairil Aslan Ab Rasid
KHAIRIL Aslan (kiri) dan Amierul menamatkan pendakian. FOTO ihsan Khairil Aslan Ab Rasid
Amir Abd Hamid


Sepang: "Alhamdulilah ekspedisi pertama ke Aceh Barat Daya, Indonesia berjaya 100 peratus," kata penjelajah negara, Khairil Aslan Ab Rasid, 48.

Malam tadi beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, bersama rakannya Amierul Abdullah, 42, selepas kejayaan menamatkan Ekspedisi Trans Paru Paru Dunia From Summit To Sea 2022 yang ditaja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.

Khairil Aslan berkata, dalam ekspedisi pendakian selama 19 hari bermula 15 Oktober berakhir 2 November lalu itu, kejayaan dia dan rakannya dari Malaysia turut dibantu pasukan Indonesia membabitkan logistik iaitu empat orang daripada suku Gayo berasal Penosan Keudah Blangkajeren Gayo Lues Aceh.

"Ini adalah pendakian pertama rakyat Malaysia menembusi jalur terpanjang dunia untuk pendakian gunung hutan hujan tropika. Ini kali ketiga saya mendaki ke Banjaran Paru Paru Dunia namun kali ini pendakian yang berbeza iaitu bermula melalui Aceh Tengah, merintis laluan baharu untuk turun dari puncak terakhir iaitu puncak Gunung Leuser ke kawasan laut iaitu ke Aceh Barat Daya.

"Pada 2022 saya dan rakan membawa misi From Summit To Sea. Puncak tertinggi di Banjaran Paru Paru Dunia adalah Gunung Loser 3,404 meter dan Gunung Leuser 3,119 meter. Kawasan pergunungan ini terletak di dalam kawasan Taman Nasional Leuser," katanya.

Katanya, pergunungan Paru Paru Dunia terletak di Blangkajeren Gayo Lues, Aceh yang adalah tulang besar Aceh berkeluasan dianggarkan 4.5 juta hektar.

Menurutnya, kawasan itu juga digelar negeri seribu gunung dan penduduk suku kaum Gayo menggelar kawasan ini sebagai negeri 'Serpihan Dari Syurga.'

"Mengikut maklumat, laluan ini pernah dirintis oleh team Renjer Taman Nasional Leuser pada 2016 dan selepas itu tidak pernah ada lagi mana-mana pendaki serata dunia yang pernah memasuki laluan Hidden Gems ini.

"Kejayaan kami menjadi sejarah buat Malaysia dan Aceh juga kerana menjadi kumpulan pendaki kedua dunia yang pernah menembusi keseluruhan Banjaran Paru Paru Dunia. Alhamdulillah.

"Ekspedisi ini turut membawa nama MBPJ dan bendera MBPJ dikibarkan sepanjang puncak yang dijejaki. Kejayaan ekspedisi pertama Malaysia ini dikongsi bersama-sama dan kejayaan ini juga sebagai motivasi kepada seluruh warga MBPJ," katanya.

Khairil Aslan berkata, pembabitan MBPJ dalam pendakian kali ini memberi impak signifikan untuk pihak berkuasa tempatam (PBT) mengikuti jejak langkah sama kerana akan memberi motivasi tinggi kepada masyarakat khususnya di Selangor untuk lebih berjaya.

Beliau berkata, mensasarkan dengan penglibatan PBT untuk aktiviti seumpamanya dapat menarik generasi muda lebih peka dengan alam semula jadi, mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

"Malah dengan pendakian kami ini akan lebih banyak ilmu rahsia alam boleh dikongsi bersama. Moto pendakian saya Penjelajahanku Ilmu Buat Kamu.

"Pada masa sama, ekspedisi ini juga adalah pemangkin sebagai latihan fizikal dan mental bagi satu ekspedisi besar dunia iaitu pendakian tiga puncak 8,000 meter untuk melengkapkan Pendakian 14 Puncak Tertinggi Dunia yang keseluruhannya berketinggian 8000 meter.

"Jika diberi rezeki Projek 14 Puncak Tertinggi Dunia ini akan bermula pada April 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 1:54 PM