Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Di sebalik dugaan banjir yang melanda, terselit rezeki ikan darat buat penduduk kampung yang terkesan bah, sama ada untuk juadah sekeluarga atau dijual sebagai punca rezeki.

Tinjauan ke Kampung Tersang, di sini, hari ini, mendapati beberapa individu sedang memukat ikan dan berkongsi kegembiraan kerana mendapat hasil tangkapan yang banyak seperti ikan baung, pepuyu, lampam, keli serta haruan.

Penduduk, Mohd Khairul Anuar, 38, berkata setiap kali musim tengkujuh, mereka tidak akan melepaskan peluang untuk memukat terutama pada hari pertama dan kedua, kerana ia adalah waktu banyak ikan di sungai memenuhi kawasan banjir.

"Kami akan keluar ke kawasan banjir yang kedalaman air melebihi paras 1.5 meter kerana ikan darat yang bersaiz besar tertumpu di kawasan berkenaan. Dengan menggunakan perahu, kami memasang pukat di lubuk ikan yang sudah dikenal pasti.

"Biasanya, penduduk kampung ini sudah tahu lokasi lubuk ikan darat kerana hampir setiap tahun akan melakukan aktiviti memukat. Hasil ikan yang diperoleh dikongsi bersama dan dijual jika mendapat permintaan.

"Pukat yang dibeli di kedai biasanya akan dijahit semula bagi memastikan ia lebih kukuh ketika memukat memandangkan arus air agak deras pada permulaan banjir selain mengelak ikan terlepas akibat pukat koyak," katanya ketika ditemui di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Beberapa penempatan di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang masih dinaiki air seperti Kampung Luar, Kampung Kusar, Kampung Putat Tujuh dan Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh, di sini.

Sementara itu, bagi Mohd Hirwan Rajiun, 41, hasil tangkapan ikan darat sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan keluarganya yang terkesan emosi serta mental akibat perlu berhadapan dengan bah hampir setiap tahun.

"Cukup dengan aneka lauk ikan darat sudah boleh memberi sedikit senyuman buat kami sekeluarga. Tambahan pula, menu berasaskan ikan darat begitu menyelerakan untuk dijamu ketika musim tengkujuh ini

"Ikan darat turut mendapat permintaan ramai dan dijual sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram bergantung kepada jenis ikan, tetapi bagi ikan baung, agak mahal iaitu serendah RM25 hingga RM28 sekilogram," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 12:16 PM
Penduduk, Mohd Khairul Anuar, 38, mengambil hasil tangkapan ikan darat selepas memukat setiap kali musim tengkujuh ke Kampung Tersang, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Penduduk, Mohd Khairul Anuar, 38, mengambil hasil tangkapan ikan darat selepas memukat setiap kali musim tengkujuh ke Kampung Tersang, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR