KENDERAAN yang terbakar akibat kemalangan. FOTO ihsan Polis
KENDERAAN yang terbakar akibat kemalangan. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbakar manakala enam lagi rosak selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Wan Azlan Wan Mamat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Subang Jayamenerima laporan kemalangan dari arah Shah Alam menghala ke Subang Jaya membabitkan tujuh kenderaan pada 7.30 pagi tadi.

Menurutnya, kenderaan terbabit terdiri Nissan Sylphy, Perodua Alza, Honda City, Perodua Bezza, Toyota Hilux, Toyota Vios dan Subaru Forester.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa Subaru Forester dipandu lelaki berusia 18 tahun yang berada di lorong tengah (keempat) masuk mengubah haluan masuk ke laluan (ketiga) lalu melanggar pintu hadapan sebelah pemandu kereta lain yang sedang beratur untuk menghala Ke Persiaran Kewajipan.

"Akibat perlanggaran ini kereta Subaru Forester berpusing lalu melanggar lima lagi kenderaan yang berada di hadapannya lalu berhenti di tengah jalan dan terbakar di keseluruhan bahagian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan ke atas semua pemandu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan berlaku.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Inspektor Abdul Nasser Peping di 012-2863875.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 2:33 PM