MUSTAPA pada majlis perasmian Karnival Statistik 2022 sempena Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM). FOTO L Manimaran
MUSTAPA pada majlis perasmian Karnival Statistik 2022 sempena Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM). FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


Sungkai: Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penurunan kadar warga asing yang bekerja di dalam negara kepada 2.4 juta berbanding 2.7 juta kira-kira dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengurangan kira-kira 300,000 orang itu berlaku berikutan pandemik Covid-19 selepas warga asing terbabit yang pulang ke negara masing-masing.

"Kita sebagai sebuah negara memerlukan buruh asing, dasar kita sekitar 15 peratus dari jumlah tenaga kerja dan sekarang ini menghampiri angka berkenaan.

"Jadi, kita tidak menafikan keperluan tenaga asing tetapi kita perlu pastikan lebih ramai orang kita (tempatan) berminat dalam kerja-kerja seperti perladangan dan pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di perkarangan ILSM di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Bagaimanapun, Mustapa berkata, negara di masa hadapan diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Caranya adalah menyediakan kemudahan perumahan dan gaji yang lebih baik, kalau setakat gaji minimum dan tidak ada kemudahan sudah pasti ia tidak mampu untuk menarik rakyat untuk bekerja dalam bidang tertentu.

"Jadi, kita berharap masa depan ini, kita akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tetapi lebih ramai rakyat yang berminat dalam bidang pembinaan," katanya.

Katanya, pemain industri juga perlu melihat perancangan jangka panjang, meskipun pemulihan ekonomi negara sudah beransur bertambah baik selepas pandemik Covid-19.

"Jangka panjang, kita juga harus meningkatkan usaha untuk automasi dan untuk mekanisasi menggunakan mesin dan peralatan dalam sektor perladangan dan juga pembinaan," katanya

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, DOSM mengeluarkan lebih 500 jenis data perangkaan setahun.

"Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data mengikut masa yang sudah ditetapkan, data-data yang berintegriti, tepat dan digunakan oleh bank negara, pelabur asing dalam negara, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Semua pihak menggunakan angka-angka yang diterbitkan oleh DOSM," katanya.

Mustapa berkata, pihaknya berharap warga jabatan akan lebih bermotivasi dalam menjalankan tugas untuk memastikan bahawa angka-angka yang dikeluarkan untuk perancangan negara dalam bidang sosioekonomi adalah mantap dan tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 1:55 PM