Faris Fuad

Kuala Lumpur: Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali gagal membawa kanak-kanak Sindrom Down dikenali Bella yang berada di bawah jagaannya, untuk dirawat atas kecederaan dialami.

Inspektor Suhaili Mahad, 31, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur berkata, Siti Bainun juga gagal menempatkan Bella di rumah keluarganya di Ampang, seperti ditetapkan dalam dokumen, sebaliknya remaja itu menetap di kondominium di Wangsa Maju.

Katanya, dua perkara itu menunjukkan pengabaian berlaku oleh Siti Bainun sekali gus melanggar peraturan dalam perintah hak penjagaan tetap remaja terbabit.

"Saya dipindahkan ke jabatan baharu apabila Siti Bainun didakwa atas pengabaian Bella pada 20 Ogos, tahun lalu. Maka kes itu diberikan kepada seorang lagi pegawai penyiasat.

"Seorang kanak-kanak yang tinggal bersama Siti Bainun memberitahu pegawai penyiasat baharu itu bahawa mereka diberikan skrip untuk memberi keterangan polis pada peringkat awal siasatan.

"Berdasarkan siasatan saya terhadap Siti Bainun dan saksi lain berkaitan, kejadian air panas terjatuh atas Bella tidak berlaku. Mengikut doktor yang merawat Bella di Hospital Kuala Lumpur, remaja itu ada kesan cedera lama dan baharu. Maka kejadian air panas dalam termos itu tidak berlaku," katanya.

SITI Bainun hadir ke mahkamah. FOTO Hairul Anuar Rahim
SITI Bainun hadir ke mahkamah. FOTO Hairul Anuar Rahim

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, keterangan Suhaili berkaitan kejadian termos itu dibantah oleh peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, yang mengatakan ia hanya sekadar berkisarkan pada pendapat sendiri.

"Suhaili juga bukan seorang pakar untuk menentukan kerosakan termos berkenaan," katanya.

Susulan itu, Zulfinaz berkata, Suhailli yang menyiasat semua saksi kes itu memberi keterangan berdasarkan dapatannya sebagai pngawai penyiasat.

"Tidak perlu pakar untuk lihat apa-apa kerosakan, sebab kita boleh lihat termos itu sendiri dan mesti ada kerosakan jika jatuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:36 PM