Gambar hiasan
Gambar hiasan
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Mengumpan mangsa dengan kemasukan wang ke dalam akaun bank dikesan antara taktik terbaharu yang digunakan sindiket penipuan dalam talian.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, scammer kemudiannya akan menghubungi mangsa berhubung kemasukan wang itu dan membuat pelbagai helah termasuk ugutan hingga mangsa terpedaya.

"Saya minta orang ramai yang mendapati akaun simpanan mereka ada menerima kemasukan wang yang mencurigakan atau tidak tahu daripada sumber mana, supaya segera melaporkannya kepada polis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Townhall Discussion "Scammer Semakin Bijak" di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM, Datuk Aidi Ismail dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Wan Rukman Wan Hassan dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

AIDI Ismail menyampaikan sijil kepada penerima Majlis Perasmian Program Townhall Discussion "Scammer Semakin Bijak" di sini, hari ini. FOTO Faizul Azlan Razak
AIDI Ismail menyampaikan sijil kepada penerima Majlis Perasmian Program Townhall Discussion "Scammer Semakin Bijak" di sini, hari ini. FOTO Faizul Azlan Razak

Ayub berkata, pihaknya juga mendapati pembeli barangan dalam talian paling ramai menjadi mangsa, terutama selepas barang yang dibeli tidak diterima mengikut masa ditetapkan.

"Sindiket akan guna bermacam cara, ugutan mahkamah dan tangkapan untuk mendorong mangsa memasukkan wang.

"Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya orang ramai peka dan lebih berhati-hati dengan tidak terpengaruh dengan tawaran diberikan," katanya.

Untuk rekod, sejumlah 33,147 individu disyaki terbabit dengan penipuan berjaya ditahan sejak Januari 2019 sehingga Julai lalu, manakala 22,196 kes dituduh di mahkamah berhubung jenayah penipuan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 4:48 PM