Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan pembubaran Parlimen yang dibuat kerajaan dilakukan atas desakan parti sendiri, Umno, atau untuk menyelamatkan kluster mahkamah.

Beliau berkata, walaupun terdapat desakan daripada Umno berhubung pembubaran Parlimen selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun kehendak parti itu tidak diikuti perdana menteri.

"Kalau ikut pandangan parti, dah lama saya bubarkan Parlimen... Tengok masa PRN Johor yang kata bubar-bubar, setiap kali perhimpunan pun sebut bubar-bubar.

"Umno dah lama cakap soal pembubaran, cuma masa yang tak sesuai dan saya pun belum merancang lagi dari segi tarikh yang tepat.

"Tetapi bila ada isu berkaitan saya nampak dah tak boleh nak 'go on' (teruskan) lagi, jadi saya bubarkan (Parlimen)," katanya kepada media selepas merasmikan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengumuman pembubaran Parlimen yang dilakukan atas desakan parti berkenaan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, tuduhan pemimpin pembangkang yang mengatakan pilihan raya umum (PRU) bertujuan menyelamatkan kluster mahkamah juga tidak berasas.

"Saya sudah perjelaskan semuanya ketika mengumumkan pembubaran, jadi jelas selama ini dari segi keabsahan kerajaan yang dipersoal sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih kepimpinan negara yang mengatakan kerajaan tebuk atap, pintu belakang dan pelbagai lagi.

"Sepatutnya pihak pembangkang berterima kasih kepada saya dan seronok dengan apa yang saya lakukan kerana ini akan mempercepatkan PRU-15, sekali gus membolehkan rakyat memilih kerajaan sebenar yang mereka mahukan.

"Lagi lama kerajaan ini bertahan lagi banyak isu kerajaan tak sah, kerajaan tebuk atap ini akan terus dimainkan," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri turut menjelaskan beliau tidak menyalahkan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini.

Menurutnya, walaupun perbuatan itu disifatkan sebagai tidak wajar, menteri terbabit hanya mengikut arahan parti masing-masing.

"Seperti yang dikatakan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam, ia juga adalah hasil keputusan parti.

"Ini bermakna, dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh daripada Presiden parti, dan menteri Kabinet daripada Bersatu tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh terbabit.

"Maknanya, dia menerima arahan daripada Presiden parti. Parti arahkan tulis surat. Walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti.

"Ini diakui oleh Hamzah, dan tidak salahkan mereka mengikut arahan parti, sebab itu adalah arahan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 12:39 PM