ANTARA kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir. FOTO Ihsan Bomba
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Tiga rumah di Kampung Tanjung Jati dan Kampung Tolok Gentam, di sini, dinaiki air sehingga mencecah 0.6 meter petang tadi susulan peningkatan aras Sungai Muar.

Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan 3.46 petang sebelum ke lokasi membuat pemantauan, bagaimanapun setakat petang tadi tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, meskipun cuaca semasa adalah mendung dan tidak hujan, trend air sungai yang meningkat dikenal pasti menjadi punca banjir kilat di kedua-dua kampung.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, seramai tujuh petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah bergegas ke lokasi. Pasukan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga berada di tempat kejadian.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membuat pemantauan banjir dan mendapati trend air Sungai Muar meningkat naik disebabkan pintu air Empangan Terachi dibuka," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, susulan itu air sungai melimpah di kawasan halaman rumah penduduk di kedua-dua kampung 0.3 hingga 0.6 meter.

"Seramai enam mangsa dari tiga rumah terbabit dan mangsa berpindah ke rumah sanak saudara terdekat.

"PKO memaklumkan keadaan cuaca di lokasi tidak hujan dan mendung. Keadaan banjir kilat adalah terkawal," katannya.

Keadaan banjir kilat di tiga rumah dekat Kampung Tanjung Jati dan Kampung Tolok Gentam, di sini, petang tadi. Foto ihsan bomba.

From: Hasbi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:40 PM