TANGKAP layar video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori memberhentikan lori dan membuang sampah dari atas jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian. FOTO TikTok mohdhairimohdhai7
TANGKAP layar video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori memberhentikan lori dan membuang sampah dari atas jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian. FOTO TikTok mohdhairimohdhai7
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Pemandu lori dalam video tular memaparkan tindakannya membuang sampah dari atas jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian di sini sudah ditahan dan diambil keterangan oleh polis semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di sekitar bandar Pontian kira-kira 7 petang, lima jam selepas usaha mencarinya dijalankan.

"Kita cuba mengesan suspek selama lima jam termasuk di rumahnya tetapi tiada dan kita kemudian berjaya menghubungi dan menemuinya di kawasan bandar Pontian.

"Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Semalam, tular satu video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori memberhentikan lori satu tan bernombor pendaftaran JEL5338 sebelum memikul sampah daripada kenderaan berat itu dan membuangnya dari atas jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian.

Tindakannya itu dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kamarul Zaman berkata, Onn Hafiz kemudian menghubungi beliau dan meminta pihak polis membantu mengambil tindakan.

"Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan mengesan suspek," katanya.

Menurut Kamarul Zaman, suspek yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan dan diambil tindakan kompaun mengikut Rule 52 LN 166/59 selain memandu tanpa lesen GDL.

"Perbuatan itu (membuang sampah dari kenderaan) adalah satu kesalahan dan boleh dihukum saman atau dikompaun sehingga RM2,000," jelasnya.

Difahamkan, lori milik suspek itu dihantar Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang turut menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang mereka.

"SWCorp juga akan siasat, kita sudah bincang dengan mereka, SWCorp juga akan amik tindakan dan untuk mereka, boleh kompaun sehingga maksimum RM10,000," katanya.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, suspek mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang serta tempat pembuangan sampah dan sepatutnya dibuang di tempat khas, namun suspek bertindak mengambil jalan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 10:32 AM