GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Hujan berterusan dan laut bergelora diramal berlaku di beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Labuan sehingga Jumaat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran kategori pertama dikemaskini jam 12 tengahari tadi dengan kelajuan angin sehingga 40 hingga 50 kilometer sejam.

Menurutnya, antara kawasan yang dijangka terkesan adalah Mukah, Bintulu, Miri, Subis, Beluru, Marudi dan Limbang.

"Bagi kawasan Pantai Barat di Sabah pula antaranya Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud.

"Amaran ini juga turut dikeluarkan di kawasan pedalaman Sabah seperti Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Kudat dan Labuan," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, ketinggian ombak boleh mencapai 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan barat Sabah dan Labuan.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.

"Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 6:14 PM