Keadaan Nur Qalesya Damia semakin pulih dan kembali bersekolah. FOTO ihsan keluarga
Keadaan Nur Qalesya Damia semakin pulih dan kembali bersekolah. FOTO ihsan keluarga
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Keadaan pesakit kelenjar, Nur Qalesya Damia Mohd Rashid, 11, bertambah baik sekali gus membolehkannya kembali bersekolah.

Ibunya, Siti Nor Hidayah Zulkepli, 37, berkata murid tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas, Johor Bahru kembali bersekolah sejak semalam selepas terpaksa bercuti selama lebih sebulan.

Menurutnya, keluarganya mendapati keadaan bengkak lidah Nur Qalesya Damia atau lebih mesra dengan panggilan Damia itu juga semakin sembuh.

"Namun dia belum sembuh sepenuhnya dan masih mengadu berasa pening selepas pulang dari sekolah.

"Mungkin dia tidak dapat mencapai kehadiran penuh namun sekurang-kurangnya dia bersemangat dan mahu bersekolah bagi menyambung persekolahan," katanya.

Malah katanya, sepanjang tidak dapat ke sekolah, Damia sering menghubungi rakan untuk bertanya berkaitan kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran.

Siti Nor Hidayah berkata, Damia akan dibawa untuk bertemu dengan doktor di sebuah pusat perubatan pakar Ahad ini bagi membincangkan keadaannya selain kesesuaian menjalani pembedahan.

Menurutnya, meskipun bengkak lidahnya semakin surut namun doktor menasihati Damia berhati-hati kerana Damia mudah dijangkiti kuman berikutan masalah kelenjar dihadapinya.

Siti Nor Hidayah berkata, kini Damia juga dapat makan dan boleh berbual secara perlahan.

Pada 15 September lalu, akhbar ini melaporkan kisah penderitaan Damia yang terpaksa berlapar dan hanya minum air dan susu kerana keadaan lidah yang semakin membengkak dan tersembul keluar.

Setiap kali mengalami permasalahan berkenaan, anak sulung dari tiga beradik itu tidak dapat makan malah juga mengalami kesulitan untuk bertutur.

Keadaan itu juga mengakibatkan Damia tidak dapat bersekolah dan kerap bercuti hingga dikhuatiri keciciran dalam pelajaran.

Damia yang juga merupakan pengawas sekolah adalah seorang murid yang aktif mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti persekolahan dan minat dalam pembelajaran.

Damia mengalami penyakit kelenjar sejak bayi dan pernah menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan di bahagian leher pada usia dua tahun.

#kw Damia, kelenjar, lidah, sekolah, kembali, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 5:36 PM