GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) komited meningkatkan hubungan dua hala menerusi aspek pertahanan ke tahap lebih baik.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia termasuk meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing.

Katanya, komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan beliau bersama Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan serta Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE di Istana Qasr Al Shati' sempena lawatan rasmi ke negara itu ketika ini.

"Berkongsi sejarah hubungan dua hala yang akrab, kami mengambil peluang menzahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan masing-masing demi memastikan hubungan Malaysia-UAE kekal bermanfaat dan membanggakan.

"Selain itu, kami turut memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-UAE khususnya dalam konteks pertahanan.

"Kami senada prospek ini mesti diterokai sebaik mungkin demi memacu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, pertemuan terbabit juga dimanfaatkan dengan membincangkan keperluan dalam meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur terutama melalui penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang telah lama ditubuhkan.

"Kursi Sheikh Zayed ini dipersetujui penubuhannya semasa saya Menteri Luar Negeri sebelum ini.

"Kami percaya pemegang kedua-dua Kursi ini harus bekerjasama dalam menggalakkan perpaduan dan keupayaan terutama dengan perkongsian nilai-nilai Sheikh Zayed dan Tun Hussein Onn.

"Usaha ini penting dalam usaha memahami bahawa keharmonian, toleransi dan perpaduan yang juga asas kejayaan sesebuah negara.

"Di akhir pertemuan, kami bertukar pandangan mengenai beberapa isu kepentingan serantau serta antarabangsa," katanya.

Menurutnya, beliau juga mengadakan pertemuan bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Mohammed Ahmed Al Bowardi di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan UAE dengan menumpukan hubungan pertahanan akrab antara menteri dan angkatan tentera masing-masing.

"Mesyuarat berjalan lancar serta amat membina sekaligus membawa kepada beberapa kesepakatan penting iaitu mengadakan latihan dua hala bersama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera UAE.

"Latihan ini akan tertumpu di kawasan darat khususnya membabitkan Tentera Darat Malaysia dan Angkatan Darat UAE.

"Selain itu, meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan antara kedua-dua angkatan tentera dan meningkatkan pembabitan antara ketenteraan di peringkat tertinggi.

"Pada masa sama, mengeratkan kerjasama berkaitan industri pertahanan terutama berhubung Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara Malaysia," katanya.

Beliau turut menjemput Mohammed Ahmed Al Bowardi ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:49 PM