Paya Linda Yahya


Gua Musang: Pengalaman menguruskan jenazah yang hancur, reput malah putus kaki adalah asam garam kehidupan sekumpulan pemuda yang aktif dalam kerja amal menguruskan jenazah sejak setahun lalu.

Bagi sukarelawan, Nik Muhamad Nasran Muhamad Nasir, 34, walaupun tanpa bayaran atau elaun, tugas menguruskan jenazah secara sukarela itu dilakukan sepenuh hati.

Menurutnya, mereka mula terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Van Jenazah Gua Musang (VJGM) kerana berminat membantu mereka yang memerlukan.

"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila perlu menguruskan jenazah yang hancur dan reput. Tetapi demi tugas dan tanggungjawab sesama ummah, kami lakukan dengan penuh ikhlas.

NASRAN (kanan) menguruskan jenazah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
NASRAN (kanan) menguruskan jenazah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya

"Malah sepanjang pandemik Covid-19, kami juga menguruskan jenazah pesakit Covid-19 dengan pemantauan pegawai kesihatan," katanya.

Nik Muhamad Nasran berkata, khidmat VJGM adalah percuma dan tiada elaun atau gaji diberikan kepada sukarelawan.

"Ini adalah saham akhirat kami, jika adapun sumbangan daripada keluarga jenazah, semuanya akan dimasukkan ke dalam tabung VJGM untuk membeli kelengkapan pengurusan jenazah.

"VJGM ini disertai 20 sukarelawan lelaki dan wanita yang bersedia berkhidmat pada bila-bila masa," katanya.

Menurutnya, dia tidak berdepan masalah masa dalam melakukan kerja amal itu kerana bekerja sendiri.

"Saya tiada masalah dalam pembahagian masa untuk berkerja dan bertugas menguruskan jenazah, tidak kira tengah malam atau awal pagi, saya sentiasa bersedia.

"Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan pengurusan jenazah, boleh hubungi saya di talian 017-9084608.

"Semoga usaha kami ini dapat membantu lebih banyak pihak yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 2:07 PM