Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seorang wanita yang disyaki mendera kanak-kanak lelaki yang juga anaknya direman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, penahanan wanita itu dibuat jam 3.30 petang semalam di rumahnya di Kok Lanas, di sini.

Menurutnya, pada Mac lalu, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu menerima video daripada teman lelaki bekas isterinya yang memaparkan tindakan wanita itu memukul mangsa.

"Pengadu berkahwin dengan suspek di Selatan Thailand pada 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

"Sebelum ini mereka menetap di Tampin, Negeri Sembilan namun selepas bercerai pada 2020, suspek dan mangsa berpindah ke Kota Bharu manakala seorang lagi anak mereka dibawa jagaan pengadu.

"Laporan polis dibuat pengadu pada 10 Mac lalu sebaik melihat video berkenaan namun dalam tempoh yang sama dia cuba menyelesaikan perkara itu dengan suspek," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Mohd Rosdi berkata, mangsa akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.

"Suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 23 September untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak," katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 26 saat mengenai kejadian penderaan kanak-kanak lelaki dipercayai dilakukan ibu mangsa.

Rakaman video itu dimuat naik melalui aplikasi Tik Tok oleh bapa mangsa itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipukul termasuk dilempar meja oleh suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 4:10 PM