AHMAD Lukman.
AHMAD Lukman.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, berhubung kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) penuntut dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dinaikkan yang berkuat kuasa disifatkan sebagai tepat pada masanya berikutan peningkatan kos sara hidup.

Penuntut jurusan Sains Komputer University Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Amran, 19, berkata, kenaikan ESH itu meringankan beban perlu dihadapi penuntut sepanjang menuntut di luar negara.

Pelajar tajaan MARA semester pertama itu berkata, ketika ini dia menerima elaun AS$835 (kira-kira RM3,756) sebulan dan 60 peratus daripadanya dihabiskan untuk menampung kos sewa rumah.

"Selebihnya digunakan untuk membeli barangan keperluan lain. Kos sara hidup yang tinggi di AS selain kejatuhan nilai ringgit memberi kesan kepada pelajar.

"Akibatnya ramai pelajar terpaksa melakukan kerja sambilan untuk membiayai perbelanjaan sara harian. Alhamdulillah kenaikan elaun ESH adalah berita baik kepada kami," kata bekas pelajar di Kolej Pendidikan Intec, Shah Alam itu.

Sementara itu penuntut semester tiga Sarjana Sains, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin, Ahmad Lukman Rusli, 25, berkata, kenaikan elaun bagi pelajar tajaan MARA itu memberikan nafas baharu buat penuntut golongan B40.

Katanya, situasi ekonomi menyebabkan kos sara hidup meningkat turut memberi kesan langsung kepada mahasiswa.

"Walaupun hanya pelajar, namun sudah tentu kami juga akan terasa dengan kadar inflasi yang sedang dialami negara pada ketika ini.

"Sebagai penuntut Sarjana Sains Penyelidikan dalam Teknologi dan Pengurusan Perladangan, saya perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk melaksanakan tugas lapangan selain menampung kos perjalanan, makan dan minum.

"Saya juga yakin keadaan sama turut dirasai semua pelajar tidak kira latar belakang jurusan pendidikan yang mereka sedang ikuti. Dengan adanya penambahbaikan daripada segi elaun Mara ini, ia dapat membantu pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik hingga jayanya," katanya.

Apa pun katanya, semua pelajar wajar berbelanja secara berhemah supaya dapat menguruskan wang diberikan dengan bijak.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, peningkatan kos sara hidup adalah senario yang berlaku di pelbagai negara di seluruh dunia.

"Justeru, amat wajar elaun dinaikkan dengan mengambil kira kos sara hidup dan inflasi yang berlaku di pelbagai negara pada ketika ini.

"Saya setuju elaun pelajar dinaikkan. Perlu dilihat kadar elaun ini dari semasa ke semasa untuk mencapai objektif membantu pelajar kita yang belajar di dalam dan luar negara.

"Ini supaya mereka dapat fokus untuk melengkapkan pengajian masing-masing tanpa dibelenggu oleh masalah kewangan terutamanya membabitkan kos sara hidup yang boleh menjejaskan pengajian pelajar," katanya.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, kadar baharu ESH bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.

Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.

"ESH pelajar sedia ada dan baharu yang mengikuti pengajian dalam negara diselaraskan bersesuaian dengan peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.

"Kenaikan ESH kepada pelajar tajaan Mara ini bakal membabitkan seramai 62,998 orang," katanya.

Ismail Sabri berkata, ketika ini terdapat 4,149 pelajar tajaan Mara yang sedang mengikuti pengajian di luar negara, dan daripada jumlah itu, seramai 1,049 pelajar sedang mengikuti pengajian di 24 universiti dalam senarai 50 universiti terbaik dunia.

Seramai 58,849 pelajar tajaan MARA pula sedang mengikuti pengajian dalam negara di universiti awam atau institusi pendidikan swasta terpilih daripada kedudukan atau ranking 4 hingga 6 Star SETARA iaitu Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 3:48 PM