KESESAKAN yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Tular
KESESAKAN yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Tular
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Kesesakan yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, antara malam semalam hingga awal pagi tadi disebabkan pertembungan cuti sekolah yang bermula di Malaysia serta Singapura.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Baharuddin Tahir yang mengesahkan kejadian kesesakan itu berkata, perkara terbabit berlaku apabila kebiasaannya rakyat di kedua-dua negara mahu mengambil kesempatan untuk merentas sempadan apabila tiba musim cuti persekolahan.

"Betul berlaku kesesakan di CIQ, BSI malam tadi dan ia lebih sesak daripada kebiasaannya. Ini kerana Singapura juga mula cuti sekolah seperti di sini (Malaysia).

"Biasanya apabila cuti sekolah atau ada cuti-cuti lain, ia menggalakkan mereka (rakyat) untuk rentas sempadan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Baharuddin mengesahkan pihaknya beroperasi seperti biasa ketika kesesakan itu berlaku.

"Semua kaunter kita buka seperti biasa, malah kakitangan yang ditugaskan juga mencukupi," katanya memaklumkan operasi kembali normal antara 3 pagi hingga 4 pagi tadi.

Terdahulu, ramai pengguna CIQ BSI terutama rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berkongsi gambar kesesakan di bangunan itu yang dianggap luar biasa sehingga tular di media sosial.

Sementara itu, juruteknik yang dikenali sebagai Ahmad Zharfan, 30, berkata kesesakan mula berlaku di pusat pemeriksaan Tuas, Singapura dan bertambah sesak apabila melepasi jambatan Tuas-Johor.

Katanya, terlalu banyak kenderaan termasuk motosikal, kereta, bas dan lori melalui kawasan berkenaan dalam satu-satu masa.

"Macam saya naik motosikal, tidaklah menunggu lama tetapi jika kebiasaan ambil masa 40 hingga 60 minit untuk sampai Johor Bahru, semalam sahaja hampir dua jam.

"Biasa Jumaat yang agak sesak sebab ramai orang keluar dan masuk Singapura-Johor Bahru, tetapi semalam memang teruk, katanya sebab Singapura juga sudah mula cuti sekolah," kata yang bekerja di Boon Lay, Singapura dan tinggal di Kempas Indah, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 1:39 PM