ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit. FOTO ihsan Bomba
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan di Kilometer (km) 292.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan kejadian kemalangan, 12.34 tengah malam tadi.

"Pemandu, Tsia Kwai Weng, 61, yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut, namun dimaklumkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Unit Kecemasan hospital berkenaan, 5.40 pagi tadi.

"Manakala penumpang Hooi Lai Kwean, 53, maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan pada 12.02 tengah malam.

"Anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas seterusnya menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulans, manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya, dengan operasi tamat pada 1.29 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 11:22 AM