Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mengesahkan kepada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa beliau merakam video kecederaan dialami remaja Sindorm Down dikenali Bella sebagai bukti berlakunya penderaan.

Zurianty Sudin, 39, berkata, video itu untuk diberikan kepada individu yang dikenali Syed Azmi.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun pada perbicaraan kes wanita itu yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun.

Zurianty yang juga saksi pendakwaan pertama dipanggil sekali lagi ke mahkamah untuk pemeriksaan semula dan pemeriksaan balas daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.

Hafidzah: Setuju dengan saya rakaman puan ambil ini adalah semata-mata nak beri kepada Syed Azmi.

Zurianty: Pada asalnya ya.

Hafidzah: Saya cadangkan pada hari sebelum itu Syed Azmi tanya ada bukti ke, sebab itu ambil video ini.

Zurianty: Betul.

Hafidzah: Tujuan video diambil untuk meyakinkan Syed Azmi terdapat penderaan kepada Bella.

Zurianty: Betul.

Terdahulu, rakaman video Bella di sebuah kondominium disiarkan di mahkamah, hari ini dan Zurianty yang berada di kandang saksi kelihatan sebak sewaktu melihat video berkenaan.

Saksi itu mengesahkan video berkenaan adalah antara video yang diserahkannya kepada polis.

Ketika ditanya tindakannya menangis di dalam video selepas melihat keadaan Bella semata mahu meyakinkan Syed Azmi, Zurianty menafikan perkara itu.

Namun, saksi itu mengesahkan individu pertama yang menerima video berkenaan adalah Syed Azmi sebelum diberikan kepada ahli keluarga, rakan dan beberapa individu lain seperti yang dinyatakan dalam keterangan sebelum ini.

Hafidzah kemudian mempersoalkan tindakannya menghantar video berkenaan kepada individu lain kerana tujuan asal rakaman dibuat untuk diberikan kepada Syed Azmi, saksi itu menjawab, beliau mengalami trauma selepas melihat keadaan Bella.

"Saya hubungi kawan-kawan lain untuk mendapatkan sokongan emosi dan apa patut saya buat. Saya dah 'blank' tapi saya tahu saya perlu bertindak untuk bantu siasatan," katanya.

Dalam prosiding pada April lalu, saksi itu dalam keterangannya mengaku beliau individu mengambil video Bella di kondominium berkenaan pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan rakaman video diambil itu untuk dibocorkan dan disebarkan dalam media sosial selain bagi mendapatkan perhatian umum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:26 PM