Dr Noor Azmi Ghazali
Dr Noor Azmi Ghazali
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tidak berlaku lebihan bekalan vaksin Covid-19 di negara ini biarpun sambutan terhadap program vaksinasi kanak-kanak serta dos suntikan penggalak kedua kurang memberangsangkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana, kerajaan tidak membuat pembelian vaksin secara pukal sebaliknya dibawa masuk secara berperingkat.

"Sehingga kini, kita masih meneruskan kempen di pelbagai platform termasuk media sosial berhubung kepentingan mengambil vaksinasi khususnya kanak-kanak dan dos penggalak kedua.

"Ini kerana, berdasarkan kajian, selepas enam bulan (pengambilan vaksin awal), keadaan imuniti badan semakin menurun terutama yang sudah berumur dan mempunyai komorbid (menghidap penyakit lain).

"Disebabkan itu, kita galakkan golongan ini untuk mengambil dos penggalak kedua," katanya pada sidang media selepas hadir pada Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Sekolah di Dataran Ilmu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kepar.

Ditanya berkaitan adakah kerajaan akan mengikut langkah Singapura yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula semalam, beliau menegaskan, perkara itu akan dikaji dengan lebih terperinci.

"Saya juga akan bawa perkara ini dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam masa terdekat," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 1:06 PM