Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang anak sanggup mengorbankan masa depannya apabila berhenti sekolah demi mahu menjaga serta menguruskan ibunya yang diserang angin ahmar sehingga lumpuh sebelah kanan badan sejak enam tahun lalu.

Nurul Alwani Mohd Afero, 20, berkata, keputusan meninggalkan alam persekolahan ketika berusia 14 tahun dilakukan dengan rela hati untuk membolehkan dia menjaga ibu, Mariati Muhamad, 42, selepas diserang angin ahmar kali kedua.

"Saya mengambil keputusan ini kerana bersimpati melihat ayah, Mohd Afero Musa, 43, yang sebelum ini perlu menguruskan ibu selepas pulang dari kerja, sedangkan ayah juga memerlukan masa untuk berehat selepas seharian keluar bekerja mencari rezeki untuk menyara kami sekeluarga.

"Sejak ibu sakit, rutin harian saya berubah dalam sekelip mata kerana perlu menguruskannya dengan memberi makan, minum, menukar lampin pakai buang sehinggalah memandikannya setiap hari," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Pangkal Merabang, di sini, semalam.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan.

Nurul Alwani berkata, beberapa tahun sebelum ini, ibunya pernah diserang angin ahmar ketika mereka sekeluarga menetap di Johor Bahru dan keadaannya kembali pulih seperti sedia kala namun pada pertengahan 2016, ibu sekali lagi diserang angin ahmar menyebabkan dia berada dalam koma selama dua minggu dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

"Melihat keadaan ibu waktu itu, kami sekeluarga mengambil keputusan pulang ke kampung di Machang dan pada ketika itulah saya nekad berhenti sekolah atas rasa kasih sayang terhadap ibu selain tidak mahu dua lagi adik yang masih bersekolah berasa bimbang apabila ibu ditinggalkan sendirian sehingga menjejaskan pembelajaran mereka.

"Lebih membimbangkan ibu juga kerap diserang sawan terutamanya ketika tidur dan pada masa sama perlu menelan 15 ubat dalam sehari iaitu ubat sawan, jantung, darah tinggi, dan kolesterol," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, tahap kesihatan ibunya beransur pulih berbanding sebelum ini yang hanya terlantar selain perlu bergantung kepada susu yang diberikan melalui saluran tiub di hidung.

"Kini ibu sudah boleh duduk namun tidak boleh terlalu lama kerana cepat berasa lenguh dan saya juga bersyukur ibu boleh bertutur sedikit demi sedikit walaupun percakapannya kurang jelas.

"Setiap dua minggu atau sebulan sekali, ibu perlu menghadiri temujanji di Hospital Machang untuk mengetahui tahap perkembangan kesihatannya," katanya.

Katanya, bagi keperluan ibu, mereka sekeluarga perlu memperuntukkan RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang serta kos berulang-alik ke hospital untuk menghadiri temujanji.

"Mujurlah ibu mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang boleh digunakan untuk membeli keperluannya memandangkan pendapatan ayah sebagai buruh tidak menentu selain perlu menanggung dua lagi adik yang masih bersekolah," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0612141100000558 atas nama Mariati Muhamad atau boleh menghubungi anaknya, Nurul Alwani di talian 017-9475172.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 10:14 AM