Kenderaan polis mengiringi ahli keluarga Najib. FOTO BERNAMA
Kenderaan polis mengiringi ahli keluarga Najib. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Draf kerja penghakiman dalam tiga rayuan berhubung kes Datuk Seri Najib Razak yang bocor kepada pihak media hari ini adalah draf kerja yang belum dimuktamadkan.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dalam satu kenyataan berkata, penghakiman muktamad hanya disampaikan di Mahkamah Terbuka kira-kira 4 petang pada tarikh yang sama.

Katanya, pejabat itu mendapati penghakiman yang disiarkan sebuah portal adalah draf kerja bagi penghakiman dalam tiga rayuan berhubung dengan kes Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak v PP yang bocor kepada pihak media.

"Didapati dokumen yang bocor itu sudah diubahsuai. Perbuatan ini adalah suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

"Penyiasatan dalaman sudah pun dimulakan dan laporan polis sudah dibuat. Pejabat ini menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,

katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu tular di media sosial draf berkenaan yang dikatakan dibocorkan sebelum keputusan di mahkamah hari ini.

Ia menimbulkan tanda tanya bagaimana ia boleh berlaku sedangkan prosiding masih berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 8:28 PM