Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Oleh Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan berhubung penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah mahupun anggota fahaman terbabit di Sabah setakat ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, walaupun belum ada sebarang laporan, pihaknya sudah melaksanakan pemantauan di setiap daerah sebagai langkah bagi mencegah fahaman menyeleweng itu daripada disebar di Sabah.

"Setakat ini saya belum terima sebarang laporan (mengenai penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah).

"Saya akan minta penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan pegawai tadbir agama setiap daerah untuk melihat perkara ini.

"Selepas itu, kita akan membuat ketetapan (tindakan susulan berkaitan) melalui JHEAINS dan Pejabat Mufti Negeri Sabah.

"Pemantauan akan dibuat di setiap daerah. Malah, imam masjid dan guru agama di setiap daerah perlu peka terhadap perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media pengumuman keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan SMU dan STAM 2021 bertempat di Dewan Sa'adah Wisma Muis di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Arifin turut menyeru umat Islam di Sabah untuk membuat laporan kepada JHEAINS dan Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Muis) secepat mungkin sekiranya terdapat maklumat mengenai sebarang penyebaran fahaman yang mencurigakan.

Disamping itu, beliau turut menegaskan pihaknya menerusi JHEAINS akan mengambil tindakan terhadap sebarang fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Mengulas berkaitan program, Mohd Arifin berkata, 376 pelajar membabitkan lima Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Agama Menengah Bantuan Kerajaan dan sebuah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang menduduki SMU tahun lalu.

Menurutnya, secara keseluruhan, prestasi keputusan peperiksaan SMU bagi 2021 mengalami penurunan berbanding 2020.

"Peratus kelulusan peperiksaan SMU tahun lalu adalah 89.09 peratus yang menurun 0.33 peratus berbanding 89.42 peratus ada 2020.

"Penurunan ini tidak signifikan atas beberapa sebab membabitkan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 2:45 PM