Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan rakyat Malaysia yang ditahan polis Indonesia selepas disyaki terbabit memproses syabu adalah bekas anggota PDRM.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, pihaknya mengesan sebaran klip video diambil dari berita Indonesia mengenai tangkapan seorang warga Malaysia oleh Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia.

Mengikut laporan, katanya, suspek yang didakwa bekas warga PDRM disyaki terbabit kes makmal memproses syabu di Sukajadi, Batam, Indonesia.

"Semakan mendapati suspek tidak pernah berkhidmat sebagai polis, sukarelawan atau polis bantuan.

"Rekod turut mengesahkan suspek terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan ugutan kekerasan dan menyamar sebagai polis," katanya dalam kenyataan malam ini.

Selain itu, beliau berkata, polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung kes itu dan bersedia menyalurkan maklumat diperlukan dalam usaha membanteras jenayah narkotik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 9:35 PM