LADANG ganja berkenaan. Foto Agensi
LADANG ganja berkenaan. Foto Agensi
Agensi

Jakarta: Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia memusnahkan sembilan hektar ladang ganja dengan hasil dianggarkan seberat 35 tan di Desa Jurong dan Desa Sawang, Sawang, Aceh Utara.

Kompas melaporkan, pemusnahan ladang ganja itu dilakukan dengan kaedah pembakaran.

Dianggarkan, ketinggian pokok ganja itu 250 sentimeter dan pihak berkuasa mencabut batang pokok itu sebelum membakarnya.

Turut ditemui sekitar 10,000 biji ganja dalam polibeg.

Ketua BNN Indonesia, Petrus Reinhard Golose berkata, pasukannya bekerjasama dengan semua pihak dan menemukan ladang ganja di seluruh Indonesia.

"Seperti di Aceh Utara, ladang ganja kerap ditemui di Wilayah Sawang.

"BNN Indonesia ketika ini berkolaborasi dan bekerjasama dengan Agensi Penerbangan dan Angkasa Kebangsaan dan Agensi Maklumat Geospatial untuk menemui titik koordinat ladang ganja," katanya.

Dia meminta wakil rakyat Aceh Utara, Muhammad Thaib memperkasakan masyarakat di pinggir hutan.

"Misalnya, dengan program tanaman lainnya, supaya tanaman ganja itu dapat diabaikan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 6:01 AM