KEADAAN motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan selepas dipercayai bergesel dengan sebuah treler di atas Jambatan Sungai Batang Padang, pagi tadi. FOTO ihsan PEMBACA
KEADAAN motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan selepas dipercayai bergesel dengan sebuah treler di atas Jambatan Sungai Batang Padang, pagi tadi. FOTO ihsan PEMBACA
BERNAMA

Ipoh: Polis menahan seorang pemandu treler yang terbabit dalam satu kemalangan sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di atas jambatan Sungai Batang Padang di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Tapah dekat sini, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku pada 7.15 pagi ketika Shahriza Ishak, 39, yang beralamat di Jalan Chenderiang Lama sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah berhampiran.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler berkenaan dipercayai bergeser dengan sebuah motosikal, mengakibatkan penunggangnya terjatuh atas jalan sebelum diseret treler dan wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

"Pemandu treler yang berusia 36 tahun ditahan untuk siasatan selepas hasil saringan awal mendapati dia positif dadah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 4:21 PM