ENAM pemancing yang terselamat selepas bot yang mereka naiki karam akibat cuaca buruk di perairan Pulau Timun, Langkawi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
ENAM pemancing yang terselamat selepas bot yang mereka naiki karam akibat cuaca buruk di perairan Pulau Timun, Langkawi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Hamzah Osman

Langkawi: Enam pemancing berdepan detik cemas apabila terapung selama 16 jam selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tenggara Pulau Timun, dekat sini, semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot dinaiki mangsa berusia di antara 34 dan 70 tahun itu dimasuki air akibat cuaca buruk pada jam 6 petang.

"Kesemua mangsa yang hanya berpaut pada bumbung bot tenggelam dilaporkan diselamatkan bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berkenaan kira-kira 8.55 pagi hari ini.

"Mereka kemudian dipindahkan ke atas bot Perkasa 1228 dan dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Bukit Malut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata, ketika kejadian semua mangsa memakai jaket keselamatan dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Perlis selepas selesai memancing kira-kira 4 petang semalam.

"Sejurus tiba di Bukit Malut di sini pagi tadi, seorang mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha di sini, akibat keletihan selepas terapung hampir 16 jam.

"Kegunaan jaket keselamatan terbukti menjadi alat bantuan keselamatan yang mampu menyelamatkan nyawa di laut sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Justeru, beliau berkata, Maritim Malaysia mengingatkan individu yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar sentiasa memakai jaket keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 3:35 PM