WARGA TLDM dan TLP mengemudi kapal bersama dalam Eksesais Malaysia-Pakistan siri 4/2022 di sekitar perairan Selat Melaka. FOTO ihsan TLDM
WARGA TLDM dan TLP mengemudi kapal bersama dalam Eksesais Malaysia-Pakistan siri 4/2022 di sekitar perairan Selat Melaka. FOTO ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Pakistan (TLP) mengukuhkan kerjasama pertahanan menerusi Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK) siri 4/2022 di sekitar perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, ia membabitkan Kapal Diraja (KD) Jebat bersama kapal terbaharu armada TLP, PNS Taimur.

Menurutnya, eksesais itu memfokuskan kepada peningkatan kesefahaman serta keboleh operasian bersama kedua-dua angkatan laut.

"Terdahulu, PNS Taimur tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada Selasa lalu untuk lawatan operasi. Kapal frigate kelas Tughril itu adalah kapal kedua selepas PNS Tughril.

"Kedua-dua angkatan laut mempamerkan kesefahaman serta keboleh operasian yang jitu sepanjang eksesais berlangsung. Semua objektif eksesais direalisasikan melalui beberapa siri evolusi Peperangan Asimetrik dan Konvensional," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, selain itu perkongsian kepakaran dan ilmu turut diberi penekanan dengan pelaksanaan Personnel Exchange Programme warga kapal KD Jebat dan PNS Taimur.

Katanya, eksesais berkenaan turut dijayakan dengan pembabitan Fast Combat Boat dan pesawat Fennec TLDM.

"Kelancaran pelaksanaan eksesais itu jelas mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut dalam melaksanakan operasi bersama.

"Selain komited terhadap keselamatan maritim negara, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat dalam memperkasakan diplomasi pertahanan serta antarabangsa bagi membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangan TLDM di peringkat global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 1:48 PM