ISMAIL Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan. Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. FOTO Ihsan PMO
ISMAIL Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan. Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. FOTO Ihsan PMO
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan merangka pendekatan holistik bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan golongan rentan dilindungi daripada manipulasi, pengabaian dan penganiayaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan itu kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan.

Menurutnya, jawatankuasa ini adalah platform khas untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini termasuk pusat jagaan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pusat tahfiz.

Katanya, definisi golongan rentan kini diperluaskan kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan, pelarian, pesakit penyakit berjangkit dan miskin.

"Keahlian jawatankuasa ini juga akan diperluaskan dengan penyertaan wakil pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan bagi penyelarasan perlindungan golongan rentan.

"Kerajaan juga sudah mengambil pendekatan usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dalam membantu golongan ini untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang turut dihadiri menteri, timbalan menteri berkaitan serta pegawai kanan kementerian dan jabatan terbabit.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju mewujudkan rangka tindakan dan penubuhan jawatankuasa mengenai isu gelandangan bagi menetapkan hala tuju isu berkaitan.

Katanya, pada masa kini tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian gelandangan di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) akan memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz di seluruh negara melalui lima teras utama iaitu undang-undang, model tahfiz, kurikulum yang menepati pendidikan arus perdana, tadbir urus yang berintegriti dan penyelarasan pengiktirafan tahfiz.

"Sejak DPTN diperkenalkan pada 2016, jumlah pusat tahfiz berdaftar meningkat daripada 571 kepada 1,208 pusat tahfiz pada 2022.

"Kerajaan Pusat dan negeri perlu bersama meneliti status tanah bagi mempermudahkan pusat jagaan dan pusat tahfiz untuk mendapatkan kelulusan beroperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 5:37 PM