ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya menyerbu premis di Port Dickson kerana menyimpan minyak masak melebihi had dibenarkan. FOTO ihsan KPDNHEP Putrajaya
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya menyerbu premis di Port Dickson kerana menyimpan minyak masak melebihi had dibenarkan. FOTO ihsan KPDNHEP Putrajaya
Mohd Amin Jalil

Seremban: Sebuah premis perniagaan di Port Dickson, dekat sini, diserbu pihak berkuasa selepas didapati menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak melebihi had dibenarkan bagi tujuan perdagangan atau perniagaan tanpa permit, Jumaat lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata, hasil serbuan pada jam 6 petang itu, pihaknya menemukan sejumlah 44 kotak minyak masak botol lima kilogram (kg) yang mengandungi 176 botol.

Katanya, pasukan serbuan merampas semua minyak berkenaan bersama beberapa dokumen perniagaan lain dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM7,920.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang mengaku sebagai pemilik premis memaklumkan bahawa perniagaan yang dijalankan adalah menjual guni dan memproses makanan.

"Dia juga gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah AKB 1961 bagi mengenal pasti punca bekalan minyak masak berkenaan diperolehi.

"Kami juga akan menyiasat tujuan sebenar minyak masak ini disimpan dalam kuantiti melebihi daripada had dibenarkan tanpa permit," katanya.

Azman berkata, di bawah Peraturan 18, Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 mewajibkan mana-mana pihak bagi tujuan perdagangan yang membeli dan menyimpan minyak masak melebihi 12 kg perlu memiliki permit kebenaran daripada KPDNHEP.

Menurutnya, pemegang permit hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi seumpama ini daripada pemborong berlesen sah saja.

"Mana-mana individu melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau RM3 juta bagi kesalahan berikutnya bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi syarikat pula, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Azman berkata, siasatan juga akan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 5:39 PM