Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bergoyang sambil teguk arak serta minuman dipercayai dicampur bahan terlarang.

Itu gambaran suasana di sebuah daripada empat pusat hiburan di bandar ini yang diserbu polis Kontinjen Melaka menerusi Op Bersepadu Khas Maksiat bermula tengah malam tadi.

Ini berikutan penemuan beberapa jag kaca mengandungi air minuman dipercayai bercampur bahan terlarang itu selain puluhan botol minuman keras di beberapa bilik di premis yang diperiksa.

Bagaimanapun wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi berkenaan difahamkan minuman itu baharu disediakan dengan bahan berbentuk pil kelihatan mendap di bahagian bawah jag kaca.

Hasil serbuan di premis karaoke keluarga itu, seramai 91 pelanggan diperiksa termasuk 58 beragama Islam terdiri daripada 11 wanita dan 47 lelaki termasuk seorang daripadanya berperwatakan seperti wanita.

DUA lelaki lelaki positif dadah syabu dicekup dalam Op Bersepadu Khas Maksiat, di premis karaoke keluarga awal pagi tadi. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
DUA lelaki lelaki positif dadah syabu dicekup dalam Op Bersepadu Khas Maksiat, di premis karaoke keluarga awal pagi tadi. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, secara keseluruhannya 312 pelanggan di empat premis hiburan membabitkan 195 lelaki dan 112 wanita tempatan serta lima wanita warga asing berusia 22 hingga 45 tahun diperiksa dalam operasi berakhir jam 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing, dua pengunjung lelaki berusia 50 dan 25 tahun ditahan kerana positif dadah methamphetamine mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang mengaku penjaga premis ditangkap mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/1963 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah.

"Empat wanita warga Vietnam berusia 31 hingga 38 tahun turut ditahan mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial serta permit dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis hiburan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainol berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Kontinjen Melaka.

Sementara itu, katanya, sepanjang Januari hingga Jun lalu, 56 serbuan dilaksanakan pihaknya dan berjaya menahan 195 individu membabitkan 49 warga tempatan dan 146 warga asing.

Katanya, sepanjang tempoh itu, 45 pemeriksaan dilakukan di pusat hiburan dan masing-masing 25 pemantauan di pusat urut dan hotel bajet bagi mengesan sebarang aktiviti maksiat serta individu dikehendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 4:42 PM