PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP memeriksa premis yang menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi. FOTO ihsan KPDNHEP
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP memeriksa premis yang menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi. FOTO ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan haram sebuah premis di Taman Bayu Tinggi di Klang, Selangor, yang menyorok minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas lokasi itu diserbu pihak berkuasa Rabu lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya susulan risikan dilakukan anggota Sesyen Risikan KPDNHEP Putrajaya.

"Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati tiada pekerja ditemui di dalam premis itu. Pemeriksaan lanjut dilakukan menemui sejumlah minyak diesel, lori, beberapa tangki kosong, tangki berisi diesel dan beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak berkenaan.

"Kami menyita diesel dan pelbagai peralatan ditemui di dalam premis dianggarkan bernilai RM170,346 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," katanya tadi.

Azman berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan termasuk dari mana ia diperolehi dan diedarkan.

"Selain itu, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613)," katanya.

Keterangan gambar:

1. PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap sebuah premis yang menjalankan aktiviti penyelewangan minyak diesel bersubsidi di Taman Bayu Tinggi, Klang, Selangor dalam serbuan pada 6 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 4:59 PM