GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Lelaki yang dikatakan memandu secara berbahaya dan berlagak samseng dalam satu kes buli jalan raya di Jalan Taman Selayang Jaya, Selayang dekat sini, dihadapkan Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada Isnin lalu dan polis turut merampas sebatang besi serta kereta yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Hari ini suspek dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Suspek mengaku bersalah atas pertuduhan ugutan lalu dikenakan hukuman denda RM4,000 manakala bagi kes memandu secara berbahaya, suspek mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro pada Isnin lalu melaporkan, polis mengesan pemandu kereta yang berlagak samseng serta pemilik rakaman video yang tular di media sosial.

Zainal dilaporkan berkata, polis mengesan satu rakaman video berdurasi 1 minit 14 saat yang tular menunjukkan kereta Perodua Myvi dipandu secara melulu dan berbahaya dengan memotong serta brek secara mengejut beberapa kali di hadapan kenderaan dimiliki perakam video.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 4:25 PM