MOTOSIKAL yang terbakar di PPR Kampung Muhibbah. FOTO Ihsan Polis.
MOTOSIKAL yang terbakar di PPR Kampung Muhibbah. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki, hari ini yang dipercayai terbabit dengan kebakaran 34 motosikal di Blok G Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, semua suspek berusia 31 hingga 43 tahun ditahan pada 2.30 pagi di kawasan PPR itu.

Katanya, siasatan awal mendapati punca kejadian kerana seorang daripada suspek cemburu dengan pemilik sebuah motosikal yang didakwa mempunyai hubungan dengan bekas isterinya.

"Reman ke atas suspek dibenar selama enam hari sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Firdaus Eber di talian 014-3649458, Hotline Polis Cheras 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sebanyak 34 motosikal musnah dalam kebakaran di Blok G Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, awal pagi semalam angkara khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 6:28 PM