GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Malaysia kembali mencatatkan kes baharu melebihi 3,000 kes iaitu sebanyak 3,561 kes setakat semalam.

Ia sekali gus menjadikan jumlah angka jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 4,582,302 kes.

Kali terakhir negara ini mencatatkan kes lebih 3,000 ialah pada 13 Mei lalu dengan 3,029 kes dicatatkan.

Negara ini terus menunjukkan peningkatan kes jika dibandingkan kelmarin dengan 2,932 kes serta Isnin lalu, 1,918 kes.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 3,552 kes penularan tempatan dengan sembilan lagi kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dalam pada itu, COVIDNOW turut memaparkan sejumlah lima kes kematian yang dilaporkan semalam termasuk dua kes meninggal dunia diluar fasiliti kesihatan (BID).

Dua kes kematian dilaporkan di Selangor termasuk satu kes BID, manakala masing-masing satu kes dilaporkan di Kuala Lumpur (kes BID), Pahang dan Sarawak.

Sementara itu, 2,035 individu dilaporkan pulih daripada jangkitan berkenaan menjadikan 4,514,970 kes sembuh dilaporkan di negara ini sehingga kini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 10:07 AM