TANGKAP layar tiga lelaki yang menumbuk lelaki di tengah lebuhraya Pasir Gudang, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar tiga lelaki yang menumbuk lelaki di tengah lebuhraya Pasir Gudang, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang lelaki dipukul tiga individu selepas didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 6.05 petang itu, kereta dipandu seorang lelaki yang juga mekanik, 24, melanggar motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 30-an.

Katanya, dalam masa yang sama tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berada di belakang kenderaan yang dipandu lelaki terbabit melihat kejadian itu.

"Ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara lingkungan 25 hingga 31 tahun kemudian keluar dari kereta sebelum memukul pemandu kereta tersebut.

"Tiga lelaki berkenaan dikatakan berang dengan perbuatan pemandu kereta tersebut yang memandu secara berbahaya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya tiga suspek berkenaan tidak mengenali penunggang motosikal atau pemandu kereta berkenaan.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan meminta agar individu yang terbabit supaya tampil ke IPD berkenaan untuk diambil keterangan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh terus menghubungi talian hotline IPD tersebut 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor S Sivakumaran menerusi talian 019-5127410,"katanya

Kes kemalangan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59), manakala kes pukul di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, video kejadian tersebut yang berdurasi 33 dan 22 saat kemudian tular dalam media sosial sejak semalam.

Menerusi video terbabit kelihatan tiga lelaki dewasa memukul suspek di tengah jalan lebuhraya Pasir Gudang, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 8:51 PM