GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Polis memberkas seorang bapa dan anak lelakinya selepas dipercayai menembak mati kucing menggunakan selaras senapang angin di Bukit Rambai, di sini, petang semalam.

Difahamkan suspek bertindak demikian kerana berang kucing jirannya itu menceroboh masuk rumahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, terdahulu polis menerima laporan dibuat seorang lelaki kira-kira jam 2.30 petang mendakwa seekor kucing peliharaannya mengalami muntah darah dan terdapat luka kecil di bahagian belakang tubuh.

Menurutnya, pengadu berusia 44 tahun itu seterusnya membawa kucing berkenaan ke klinik haiwan sebelum terkejut apabila dimaklumkan doktor bahawa haiwan peliharaannya cedera ditembak.

"Doktor memaklumkan terdapat geguli besi di dalam badan kucing dan haiwan itu tidak dapat diselamatkan," katanya tadi.

Mengulas lanjut, Raiz Mukhliz berkata, suspek utama berusia 62 tahun itu ditangkap polis semalam manakala anaknya berusia 27 tahun diberkas tadi selepas pengadu membuat laporan.

"Susulan laporan pengadu, tindakan lanjut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) IPD Melaka Tengah yang merampas selaras senapang angin berserta beberapa alatan dipercayai alat ganti senapang itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui 17 butir peluru penabur di dalam bilik semasa penggeledahan dilakukan.

"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat. Mereka kini direman empat hari," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan.

"Jika disabitkan boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Kelmarin, media melaporkan Polis Kedah menahan seorang lelaki bertindak kejam dengan menendang dan membaling batu bata ke arah dua ekor kucing dalam kejadian di kaki lima bangunan premis di Taman Semeling Maju, Sungai Petani, Kedah.

Susulan itu, polis menahan suspek lelaki berusia 27 tahun itu di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok, Bujang, Merbok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 5:18 PM