Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Hanya dua projek dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) yang dikategorikan sebagai projek sakit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dua projek berkenaan adalah pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai bagi pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas sepanjang 6.2 kilometer (km) yang mengalami kelewatan sebanyak 23 peratus atau 308 hari.

Menurutnya, projek itu sepatutnya siap pada Mei lalu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu serta menyiapkan projek itu dengan segera.

"Projek sakit kedua, pembinaan terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang lewat selama 100 hari.

"Selain itu, beberapa projek yang mengalami kelewatan iaitu pembinaan bagi pakej 2C dari Bukit Sejuk Bukit Sejuk ke Gua Musang sepanjang 19.6 km dan pakej 3B dan 3C Kilometer 180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang sepanjang 7 km," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pengurusan Projek Pembangunan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

MUSTAPA ketika ditemui pada Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pengurusan Projek Pembangunan di Kota Darulnaim. FOTO Hidayatidayu Razali
MUSTAPA ketika ditemui pada Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pengurusan Projek Pembangunan di Kota Darulnaim. FOTO Hidayatidayu Razali

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah JKR kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, projek sakit dan mengalami kelewatan disebabkan beberapa masalah iaitu kekurangan tenaga kerja.

Katanya, selain itu, kenaikan harga barang binaan juga menjadi faktor projek ini terbengkalai dan lambat siap daripada masa ditetapkan.

"Kenaikan harga barang binaan termasuk besi untuk pembinaan dan bitumen untuk pembuatan jalan adalah satu masalah yang dihadapi di peringkat global dan bukannya di negara ini sahaja," katanya.

Mustapa berkata, projek lain yang mengikut jadual iaitu bagi pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang membabitkan tiga pakej dan sembilan seksyen. Empat seksyen dalam peringkat pembinaan, manakala lima seksyen lagi dalam peringkat perolehan dan akan bermula tahun ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada pakej sedang dilaksanakan iaitu pakej 2B dari Paloh 2 ke Bukit Sejuk sepanjang 20 km pakej 3D dari Bulatan Gua Musang ke Mentara sejauh 7 km.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 1:44 PM