CHE Ghani Che Musa menunjukkan kenderaannya yang terlibat dalam kamalangan di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, petang semalam. FOTO Paya Linda Yahya
CHE Ghani Che Musa menunjukkan kenderaannya yang terlibat dalam kamalangan di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, petang semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: "Alhamdulillah.. Allah masih panjangkan usia kerana saya hanya mampu berdoa dan beristighfar apabila melihat kayu balak jatuh di hadapan kenderaan."

Begitu kata Che Ghani Che Musa, 61, pemandu Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan membabitkan treler muatan balak dan empat kenderaan lain di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, pada 6.30 petang semalam.

Menceritakan semula detik cemas itu, Che Ghani berkata, dia dan empat kenderaan lain sedang berkonvoi untuk pulang ke Felda Chiku 2, di sini, selepas menghadiri kenduri perkahwinan saudara di Kuala Krai.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, dia melihat kereta Proton Wira terbabit dalam kemalangan dengan lori balak berkenaan.

"Tiba-tiba kayu balak dilihat 'melayang' dan terkena bumbung sebelum jatuh di hadapan kenderaan menyebabkan saya dan isteri berasa amat terkejut.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi kenderaan saya mengalami remuk teruk pada bumbung dan but depan.

"Syukur... ahli keluarga lain juga selamat. Kejadian ini tidak akan saya lupa sampai bila-bila," katanya ketika ditemui di bengkel kereta, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu kereta Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

"Kemungkinan besar kereta terbabit dijual tanpa menukar nama, dan keadaan ini memberi risiko kepada pemilik kenderaan (asal).

"Justeru, kami menasihatkan orang awam yang ingin menjual kenderaan supaya menukar nama kepada pemilik baru," katanya ketika dihubungi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:27 PM