DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) ketika hadir pada majlis Perasmian Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Polis Hutan di Kem Pasukan Gerak Am Ulu Kinta. FOTO L Manimaran
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) ketika hadir pada majlis Perasmian Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Polis Hutan di Kem Pasukan Gerak Am Ulu Kinta. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu pada 8 Jun lalu antara lain membincangkan mengenai kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai Perdana Menteri.

Ahmad Faizal berkata, sebaliknya mesyuarat yang dimaksudkan hanya berbincang mengenai persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selain hal berkaitan rakyat khususnya masalah kos sara hidup tinggi selain krisis makanan.

"Kalau ada ura-ura perbincangan lain (kedudukan Ismail Sabri), itu bohong kerana Bersatu tidak bincang pasal politik, (sebaliknya) fikir untuk menangani masalah rakyat termasuk bagi mencari jalan bagamana hendak bantu kerajaan.

"Kami tiada bincang tentang kedudukan Perdana Menteri, (sebaliknya) kami sokong yang sedia ada (Ismail Sabri) dan kami mahu kerajaan stabil untuk beri fokus kepada masalah rakyat, bukan masalah peribadi atau politik yang hendak diutamkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Hutan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata begitu sebagai mengulas laporan media yang memetik sumber bahawa Mesyuarat MPT Bersatu yang dimaksudkan antara lain membincangkan mengenai kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Laporan itu mendakwa, Bersatu boleh menukar kerajaan pimpinan Ismail Sabri sedia ada sekiranya parti itu mendapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) tanpa melalui pilihan raya.

Sumber terbabit turut mendakwa Bersatu sememangnya mempunyai niat memegang kembali jawatan Perdana Menteri selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu meletak jawatan pada Ogos tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal gembira dengan kewujudan Surau Al-Faizin yang dimulakan pembinaannya ketika beliau menjadi Menteri Besar Perak dengan kos binaan RM80,000 yang mana pembinaan surau itu dapat menampung seramai hampir 1,000 murid di sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 4:09 PM