Omar Ahmad

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperhebatkan penyertaan siswa dalam perniagaan francais.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini kira-kira 20 peratus golongan itu menyertai perniagaan francais ketika ini.

Katanya, perniagaan francais bukanlah perniagaan kayangan yang memerlukan modal permulaan besar sehingga tidak mampu disertai golongan siswa.

"Kementerian menawarkan dua program khusus untuk membantu pertumbuhan perniagaan francais iaitu menerusi Francais Mikro dan Mampu Milik dengan peruntukan RM5 juta.

"Jika sebelum ini modal besar sehingga ratusan ribu ringgit diperlukan untuk yang berminat melabur dalam perniagaan francais, dengan dua program ini, bakal usahawan hanya perlu mengeluarkan modal di bawah RM100,000.

"Penyertaan siswa dalam francais pada ketika ini tidak sampai 20 peratus. Tetapi kita cuba banyakkan dan memperhebatkan dengan memberi kesedaran berhubung perniagaan ini, sebab francais ini bila terlibat mereka sudah ada garis panduan. Bagaimana hendak buat dari langkah pertama hingga akhir itu kelebihan francais berbanding perniagaan biasa," katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Francais Bay peringkat negeri Johor di sini, hari ini.

Menurut Rosol, program jelajah ini dibuat bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung potensi perniagaan francais.

ROSOL (kanan) beramah mesra dengan peserta Program Jelajah Francais Bay. FOTO Omar Ahmad
ROSOL (kanan) beramah mesra dengan peserta Program Jelajah Francais Bay. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 4:17 PM